Close

Ini Antara 10 Kawasan Air Yang Paling Bertoksik Di Dunia

Pemandangan yang tenang di tasik, sungai dan pantai memang memukau untuk memancing, berenang, atau sekadar relaks.

Tapi, kadang-kadang ada kawasan yang sangat tak digalakkan untuk dilawati walaupun sekadar untuk merendam kaki.

Tasik, sungai dan teluk boleh menjadi ancaman kepada populasi manusia dan haiwan berpunca daripada pencemaran industri, sisa manusia, pertumbuhan bakteria termasuklah bencana alam.

Di bawah adalah senarai 10 kawasan air yang berbahaya:

Lagun Biru

Photo credit: Yadniloc

Rupa sebenarnya boleh menipu seperti Lagun Biru di Buxton, England.

Lagun ini adalah kuari Far Hill, yang ditenggelami air dan menjadi kawasan renang yang terkenal.

Warna air yang biru seperti oasis Caribbean di tengah Derbyshire sememangnya memukau ramai orang ke sana.

Realitinya, air biru ini sangatlah bertoksik.

Warna turqoise terhasil daripada bahan kimia yang mengalir masuk daripada batu kapur.

Kalsium oksida yang digunakan dalam proses melombong telah menyebabkan pH air teluk ini bersamaan ammonia.

Banyak papan tanda yang melarang pengunjung untuk masuk ke dalam air kerana boleh menyebabkan kerengsaan mata dan kulit, sakit perut, jangkitan kulat dan ruam.

Selain bahan kimia, lagun ini juga digunakan sebagai tempat buangan dan kumbahan.

Ada papan tanda yang bertulis :

“Lagun ini mengandungi: Bangkai kereta dan haiwan, bahan kumbahan dan sampah sarap”.

Walaupun banyak amaran dan papan tanda mengenai bahaya lagun ini, para pengunjung masih datang ke sini.

Kanak-kanak dibiarkan bermain ke dalam air asalkan tidak menyelam dan minum airnya.

Penduduk tempatan mahu lagun ini dikeringkan tapi ini akan menyebabkan masalah sumber air.

Pada Jun 2013, majlis perbandaran telah menukar air lagun kepada warna hitam untuk mengurangkan pengunjung tapi warna air ini bertukar semula kepada warna turqoise pada tahun 2015.

Tasik Titicaca

Photo credit: AP/Juan Karita

Tasik terbesar di Amerika Selatan ini telah dicemari oleh manusia dan sisa industri.

Tasik Titicaca terletak di antara Peru dan Bolivia.

Ia merupakan salah satu tempat suci kaum Incas, yang mempercayai bahawa tasik ini adalah tempat asalnya matahari.

Sekarang, tasik ini telah dicemari oleh plumbum dan arsenik.

Kebanyakan bahan toksik ini berasal dari El Alto dimana 70% kilang beroperasi secara haram dan tidak dipantau untuk kadar pencemaran.

Separuh pendudu yang tinggal di perairan Tasik Titicaca juga tidak mempunyai sistem paip yang sewajarnya.

Pada 2015, dianggarkan 10,000 katak yang diancam kepupusan ditemui mati di perairan Tasik Titicaca dan sungai berdekatan.

Katak ini adalah spesis katak air yang terbesar di dunia. Punca utama kematian yang sangat besar ini adalah logam yang mencemari tasik tersebut.

Tasik Pinto

Photo credit: Krista Almanzan

Terletak di Watsonville, California, Tasik Pinto digelar sebagai tasik paling bertoksik di negeri ini kerana banyaknya alga biru-hijau.

Alga ini yang juga dikenali sebagai cyanobakteria, menyerap nitrogen dan fosforus (yang wujud dalam sedimen di dasar Tasik Pinto).

Ikan seperti ikan ikan kap melepaskan nitrogen dan fosforus lalu diserap oleh alga yang kemudiannya tumbuh secara pesat.

Pertumbuhan alga ini menyebabkan kehadiran toksik microcystin.

Sentuh atau termakan microcystin boleh menyebabkan muntah, demam dan juga kegagalan hati.

 Toksin ini telah menyebabkan kematian burung, ikan, memerang dan anjing di kawasan itu.

Penduduk juga telah dilarang untuk makan sebarang hidupan yang ditangkap di Tasik Pinto.

Sungai Buriganga

Photo credit: P.K. Niyogi

Sungai Buriganga di Bangladesh mengalir melalui ibu negaranya, Dhaka dan merupakan sumber air yang utama.

Ia juga merupakan pusat pembuangan sisa utama bagi industri kulit di Hazaribagh.

Sisa ini dianggarkan sebanyak 22,000 liter bahan toksik setiap hari mengalir masuk ke dalam Tasik Buriganga.

Antara sisa buangan industri kulit adalah daging haiwan, bulu, pelbagai bahan kimia, dye, minyak dan logam.

Bangladesh ada peraturan alam sekitarnya tapi pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang sangat lemah.

Sampel air yang diambil mempunyai bahan kimia dan toksin yang melebihi paras selamat.

Pada tahun 2002, kerajaan telah mengarahkan industri kulit di Hazaribagh dipindahkan di luar Dhaka dalam masa tiga tahun.

Tapi, hal ini telah berlarutan lebih sedekad.

Banyak sampah yang dikutip di persisiran Buriganga dan airnya sangat tercemar sehinggakan semua ikan mati.

Lebih teruk lagi, penduduk di bandar mandi, minum dan masak menggunakan sungai ini dan telah menyebabkan sakit kepala, cirit birit dan demam kuning.

Tasik Karymsky

Photo credit: Mikhail Zelensky

Semenanjung Kamchatka terletak di hujung timur Rusia di mana banyak gunung berapi yang masih aktif selain geiser dan kolam air panas.

Salah satu gunung berapi yang paling aktif dikenali sebagai Karymsky , terletak 5 km arah utara dari Tasik Karymsky.

Tasik ini terbentuk apabila berlakunya satu letusan besar sehinggakan ruang magma kosong dan membentuk kawah yang dilimpahi air.

Kawah ini disangka mati sehinggalah berlaku letusan pada tahun 1996.

Gunung berapi Karymsky meletus sekitar tengah malam pada 2 Januari dan diikuti pula letusan oleh Tasik Karymsky pada tengahari.

Letusan bawah air ini menyebabkan stim dan debu dimuntahkan ke udara selama 18 jam.

Bahan letusan ini kemudiannya mendarat kembali ke dalam tasik yang menghasilkan campuran sodium, sulfat, kalsium dan magnesium.

Air tasik yang menggelegak dan campuran bahan-bahan letusan ini telah membunuh semua hidupan di dalamnya.

Sebelum letusan, air Tasik Karymsky adalah jernih dan mempunyai pH 7.5 yang kemudiannya bertukar warna coklat kekuningan dan pH 3.2 selepas letusan.

Tasik ini menjadi empangan air berasid semulajadi  paling besar di dunia.

Pada tahun 2012, pH Tasik Karymsky kembali beralkali 7.54 dan menjadi jernih semula.

Tapi kolam air panas yang muncul semasa letusan menyebabkan air tasik ini tiga kali lebih masin daripada sebelumnya.

Sungai Matanza-Riachuelo

Photo credit: Alejandro Kirchuk

Matanza-Riachuelo mengalir melalui Buenos Aires, ibu negara Argentina.

Sungai ini menjadi tempat pelupusan sisa dan buangan dan menjadi salah satu sungai paling tercemar di dunia.

Matanza-Riachuelo dikelilingi oleh kawasan perumahan yang menempatkan kira-kira 5 juta penduduk.

Industri kulit, stesen kimia dan kilang melepaskan purata sisa buangan sebanyak 82,000 kubik meter yang terdiri daripada logam dan racun ke dalam sungai tersebut setiap hari.

Kesannya, 25 peratus kanak-kanak yang tinggal di kawasan ini mempunyai plumbum di dalam darah mereka.

Sistem paip di kawasan tersebut sangat kurang dan sesetengah rumah mempunyai paip yang disambung terus ke sungai.

Penduduk menghidap penyakit kulit yang tidak dapat dikenalpasti, masalah pernafasan dan masalah sistem penghadaman yang serius sehingga menyebabkan kematian.

Pada tahun 2005, menteri alam sekitar Argentina telah bersumpah untuk memastikan sungai Matanza-Riachuelo dibersihkan dalam masa 1,000 hari dan akan menjadi orang pertama yang minum air sungai ini.

Tapi semuanya hanya omongan kosong.

Berkeley Pit

Photo credit: Jurgen Regel, Marian

Tanggal 28 November 2016, segerombolan besar angsa telah mendarat di suatu kawasan air yang kecil di Butte, Montana yang dikenali sebagai Berkeley Pit.

Lebih kurang 10,000 angsa dianggarkan mendarat dan beribu-ribu daripadanya telah mati.

Berkeley Pit adalah bekas lombong di mana hampir 300 juta tan kuprum digali di antara tahun 1955 dan 1982.

Proses ini membentuk satu lubang yang sangat dalam yang boleh mengisi air sedalam 275 meter.

Air ini bagaimanapun mengandungi arsenic, cadmium, cobalt, copper, iron dan lain-lain lagi.

Tahun 2016 bukanlah tahun pertama berlakunya kematian angsa besar-besaran di Berkeley Pit.

Pada November 1995, 342 angsa telah ditemui mati terapung di lubang ini.

Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah air yang sangat berasid yang sebenarnya mampu mencairkan keluli di dalam motorbot.

Bangkai angsa ini didapati terbakar di bahagian trakea, esofagus dan organ penghadaman.

Paras air yang semakin meningkat di Berkeley Pit menimbulkan kerisauan terhadap pencemaran.

Air di Barkeley Pit dijangka akan menyamai paras sumber air Butte pada tahun 2023.

Jika proses rawatan air tidak dijalankan dengan segera, air toksik ini akan memasuki sumber air bersih penduduk.

Sungai Yamuna

Photo credit: International Society for Krishna Consciousness

Sungai Yamuna bermula sebagai sumber air yang sangat jernih berasal dari glasier Pergunungan Himalaya.

Terletak di utara Delhi, sungai ini menempatkan penyu, ikan, buaya dan pelbagai tumbuhan akuatik.

Tapi sungai Yamuna yang mengalir di kawasan bandar tidak sama dengan sungai yang asal.

Air sungai dibahagikan di utara Delhi sebagai satu pertiga air minuman kepada para penduduk selain disalurkan ke kawasan sawah padi.

Baki yang tinggal hanyalah sungai yang hampir kering tapi penuh dengan sisa buangan dan pencemaran.

Data daripada tahun 2011 menunjukkan kualiti air Delhi mengandungi lebih satu billion koliform bakteria daripada najis bagi setiap 100 mililiter air.

Paras normal yang selamat untuk mandi adalah 500 koliform bakteria bagi setiap 100 mililiter air.

Lebih daripada 5 juta penduduk Delhi tinggal di kawasan haram yang tidak mempunyai servis pembentungan sistematik.

Mereka membuang air  di kawasan yang terus mengalir masuk ke sungai selain logam dan bahan pencemaran industri yang lain.

Dalam agama Hindu, Yamuna bukan sekadar sungai tetapi juga dewi.

Keadaan semasa sungai Yamuna menyebabkan sesetengah penganut menganggap dewi ini sedang tenat dan memerlukan pertolongan.

Ada juga yang menganggap sebagai dewi, dia tidak akan boleh dicemari walaupun banyak kerosakan telah dilakukan.

Soal dewi ataupun tidak mungkin boleh diperdebatkan, tapi ada bukti jelas yang sungai ini telah membunuh entiti di dalamnya.

Tiada sebarang hidupan akuatik didapati di sepanjang 23 km sungai Yamuna di Delhi.

Sungai ini juga telah menyebabkan banyak kes demam kepialu dan kematian bayi yang sangat tinggi.

Logam di dalam air memasuki kawasan tanaman dan meracuni sayur mengakibatkan ramai kanak-kanak mati keracunan.

Tasik Natron

Photo credit: Nick Brandt

Tasik Natron adalah tasik bergaram yang terletak di utara Tanzania di sempadan Kenyan.

Tasik ini dinamakan sempena bahan kimia di dalamnya, natron yang merupakan campuran sodium carbonate dan sodium bicarbonate.

Bahan kimia di dalam Tasik Natron ini berasal daripada gunung berapi.

Ol Doinyo Lengai atau ‘Gunung Tuhan’ adalah satu-satunya gunung berapi aktif di bumi yang memuntahkan natrocarbonatites berbanding silicates.

Lavanya juga tidak sepanas lava gunung berapi yang lain.

Rupa lava ini nampak macam tumpahan minyak berbanding magma dan apabila lava ini kering, ia menjadi serbuk berwarna putih.

Hujan yang turun telah mengalirkan abu ini ke dalam Tasik Natron. Ini memberikan pH air di antara 9 hingga 10.5 manakala suhu air di tasik boleh mencapai 60 darjah Celcius ketika musim panas.

Jurugambar, Nick Brandt pernah melawat tasik ini semasa penggambaran buku tentang Afrika Timur.

Dia terpukau apabila nampak ratusan bangkai kelawar dan burung di persisiran tasik tersebut.

Burung-burung yang berhijrah ini selalunya terhempas ke kawasan tasik kerana keliru dengan kesan pantulan permukaan tasik.

Apabila mati, bangkai-bangkai ini terawet secara semula jadi dengan sodium carbonate yang terkandung di dalam air.

Bahan ini digunakan pada zaman Mesir purba untuk mengawet mayat menjadi mumia.

Bangkai-bangkai ini diguna pakai oleh Brandt sebagai koleksi gambar.

Tapi di sebalik air tasik yang sangat berasid ini, burung flamingo menjadikan tempat ini sebagai sarang dan kawasan pembiakan.

Kaki flamingo yang berkulit keras dapat menyesuaikan dengan keadaan air yang masin.

Tempat ini malah selamat dari ancaman harimau bintang dan monyet.

The Jacuzzi Of Despair

The Jacuzzi of Despair adalah tasik di bawah air yang terletak di Teluk Mexico.

Tasik ini berada 1,000 meter di bawah air, di dasar lautan.

Tasik bawah air yang juga dikenali sebagai kolam bergaram ini terbentuk bila garam terbebas daripada dasar lautan.

Garam ini menyebabkan air di suatu kawasan terlalu bergaram dan semakin mampat hingga tidak bercampur lagi dengan air sekitarnya.

Kesannya, terbentuklah tasik bawah air yang mempunyai permukaan, laluan dan arus yang tersendiri.

The Jacuzzi of Despair berbentuk seperti kawah dan terletak 3.7 meter dari paras laut.

Ia dinamakan sempena suhunya yang panas.

Air di dalam tasik mempunyai suhu 18 darjah Celcius manakala air laut di sekitarnya hanya 4 darjah Celcius.

Banyak kerang yang terdampar di persisiran tapi kandungan garam dan metana yang terlalu tinggi adalah bertoksik kepada kebanyakan hidupan laut.

Suhu panas tasik ini menarik hidupan marin seperti ketam tapi jika mereka jatuh ke dalam The Jacuzzi of Despair, mereka akan mati.

Walaupun kebanyakan hidupan laut tidak dapat bertahan dengan tasik ini, para penyelidik telah menjumpai mikrob di dalam The Jacuzzi of Despair.

Mereka percaya, mikrob ini mengadaptasi dengan persekitaran tasik seperti hidup di planet yang lain.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *